PENGALAMAN AWAL PENULIS
Pengalaman penulis dalam kaedah pukulan ini bermula sejak awal tahun 1992, setelah guru penulis meninggal dunia dan penulis menyambung tugasnya di salah sebuah madrasahnya, Madrasah Babul-Khairat di Jalan Sukan Kg. Melayu Majidi Johor Bharu. Di peringkat permulaan, tahun 92-93 bila ada murid yang diserang penyakit ganjil, kita minta orang yang terkenal dalam perubatan tradisional untuk merawatnya. Akhirnya kita hentikan khidmat mereka, kerana didapati kaedah yang digunakan bercanggah dengan akidah syariat Islam. Kita rawat sendiri murid yang sakit dengan cara biasa iaitu menerusi sembahyang taubat, sembahyang hajat dan dibacakan ayat-ayat al-Quran, selawat Nabi dan doa-doa yang biasa digunakan atau diamalkan. Di awal tahun 1994, secara kebetulan penulis dapat menyaksikan rawatan yang menggunakan pukulan di sebuah kampung di daerah Alor Gajah. Setelah menyaksikan kaedah pukulan beberapa kali, penulis dapat merumuskan bahawa rawatan dengan pukulan sangat berkesan, segera sembuh, berbagai penyakit boleh dirawat, kosnya murah serta meyakinkan pesakit dan keluarganya.
Pengalaman ini ditambah dengan bacaan beberapa kitab sirah dan hadis, akhirnya penulis penuh yakin bahawa menggunakan pukulan adalah salah satu dari kaedah-kaedah perubatan Rasullullah (s.a.w). Di peringkat permulaan, penulis menghadapi berbagai masalah. Antaranya, bagaimana cara untuk mengenal sesuatu penyakit? Penyakit jenis mana yang boleh dirawat dengan pukulan dan jenis yang mana pula tidak boleh? Di bahagian mana dari tubuh pesakit itu yang harus dipukul dan dari mana dimulakan pukulan? Di manakah jin atau syaitan itu berada, di tangan atau di perut? Atau di mana? Jenis apakah jin atau syaitan itu? Apa sebab jin atau syaitan itu masuk ke dalam tubuh pesakit? Apakah kerana saka, atau masuk sendiri atau sihir? Kayu atau rotan apakah yang sesuai digunakan? Apakah jin atau syaitan itu akan jadi marah lalu akan menyerang orang yang memukulnya? Bagaimana kalau pesakit itu perempuan? Adakah jin atau syaitan itu sudah keluar atau belum? Bagaimana jika pesakit itu mati setelah dipukul? Bagaimana nanti jika pesakit itu buat laporan kepada polis mengadu ia didera sampai lebam-lebam? Dan berbagai masalah lain yang berkaitan. Penulis merasakan berbagai masalah itu kian bertambah berat dan sukar kerana tidak ada siapa yang boleh dijadikan tempat rujukan. Sebab, kaedah pukulan ini penulis cuba terokai sendiri yang hanya berbekal dengan doa dan pergantungan kepada Allah-tawakkal dan berserah kepadanya.
Berbagai pengalaman yang menakutkan, mencemaskan, menyakitkan terpaksa penulis lalui. Ada pesakit bila dipukul walaupun sangat perlahan, ia memjadi liar dan agresif, memukul, menendang, meludah sesuka hati. Ada pesakit sesudah dirawat tidak boleh sedar berjam-jam lamanya. Ada pesakit yang jadi sesak nafas seolah-olah mahu mati. Ada yang mengadu berasa bias-bisa tubuhnya. Ada pesakit yang bertambah teruk/serius penyakitnya. Dan berbagai hal dan karenah lagi yang cukup menimbulkan seribu satu masalah dan tanda tanya. Alhamdullillah dari satu masa ke satu masa secara beransur-ansur berbagai masalah dan cabaran tersebut dapat diatasi dan penulis kian bertambah yakin bahawa satu masa nanti akan tercapailah satu kaedah yang khusus dan tepat berhubungan penggunaan kaedah pukulan tersebut.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home