Friday, January 18, 2008

Sambungan SUMBER PERUBATAN ISLAM

Al-Quran juga menjelaskan bahawa sesuatu penyakit dan sembuhnya tidak hanya dikaitkan dengan sesuatu sebab sahaja, tetapi dihubungkan juga dengan musabbib iaitu takdir atau kehendak dan kekuasaan Allah. Tegasnya jika perubatan barat hanya mengingatkan wujudnya dua hubungan, sebab dan musabbab, al-Quran telah menambah satu aspek lagi yang lebih penting iaitu musabbib atau kehendak dan kekuasaan Allah yang mengatur dan menentukan berlakunya hubungan sebab dengan musabbab.

Di samping itu al-Quran memberikan contoh-contohnya dan bagaimana semestinya seseorang Islam itu menghadapi penyakit yang dideritainya, khasnya penyakit-penyakit yang berat dan kronik. Kisah penderitaan Nabi Allah Yakkub (a.s) kerana buta kedua-dua belah matanya dan Nabi Allah Ayub (a.s) yang diserang sejenis penyakit kudis hingga lumpuh serta bagaimana kedua-dua orang nabi tersebut sembuh adalah merupakan isyarat-isyarat penting di bidang perubatan Islam.

Al-Quran juga menyedarkan kita agar benar-benar menjaga kepentingan kesihatan dan mengutamakannya. Seorang yang sedang berihram haji atau umrah tidak dibolehkan mencukur kepala, tetapi jika kepalanya itu berpenyakit seperti kudis atau seumpamanya yang perlu dibotakkan, maka ia dibolehkan berbuat demikian. (43, An-Nisa’).

Demikianlah al-Quran itu yang ditegaskan oleh Allah keadaannya tidak ada sesuatu perkara yang tidak disebutkan atau tidak dimuatkan di dalamnya. Allah berfirman yang bermaksud: “Tidaklah Kami alpakan sesuatupun di dalam al-Kitab ini” (38, al-An’am). Di sebalik ibarat ayat-ayat al-Quran itu, terdapat berbagai isyarat mengenai perubatan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

Pentingnya peranan Rasullullah (s.a.w) di bidang perubatan sangat jelas, kerana baginda adalah merupakan pesuruh Allah yang berkewajipan menjelaskan kandungan dan maksud ayat-ayat al-Quran. “Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran, agar engkau menerangkan kepada umat manusia apa-apa yang telah diturunkan kepada mereka” (44, al-Nahl). Di samping itu para bomoh/pawang (kahin), tukang ramal atau tukang tilik (munajjim, arraf), ahli sihir, dan seumpamanya telah diharamkan setelah lahirnya Islam. Malahan telah diperangi habis-habisan oleh Islam disebakan semuanya itu melibatkan amalan batil dan syirik seperti menyimah, membuang ancak, memuja benda-benda yang tidak boleh dipuja seperti jin dan syaitan. Faktor-faktor tersebut menyebabkan Rasullullah (s.a.w) menjadi titik tumpuan baru bagi masyarakat Islam yang memerlukan bantuan perubatan bila menghadapi berbagai masalah penyakit. Lebih-lebih lagi masyarakt Islam yang baru muncul itu sangat teguh keimanan mereka terhadap apa sahaja yang disampaikan oleh Rasullullah (s.a.w). Mereka yakin kata-kata baginda adalah datang dari Allah, seperti yang disebut dalam firman Allah yang bermaksud : “Dan sesungguhnya ia (Rasullullah s.a.w) tidaklah bercakap mengikut kehendak nafsunya, tetapi kata-katanya itu adalah wahyu yang diwahyukan” (2-4, al-Najm).

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home