Friday, January 18, 2008

Sambungan Sumber Perubatan Dalam Islam

Bila kita pandang dari sudut wahyu ini maka tentulah kita boleh merumuskan bahawa perubatan yang diperkenalkan oleh Rasullullah (s.a.w) tidak seperti perubatan yang dicetuskan oleh para doktor lainnya. Ada unsur-unsur penting yang tersendiri yang menakjubkan. Kerana itulah maka Ibn Qaiyim al-Jawziyah (W.751H) ada menegaskan dengan katanya yang bermaksud:-


“Maka inilah beberapa bahagian yang dapat memberi manfaat mengenai tunjuk ajar Rasullullah (s.a.w) dalam perubatan yang diamalkannya dan yang diajarkan kepada orang lain. Perubatan yang mengandungi hikmah, hikmah yang tidak akan dapat dicapai oleh akal fikiran doktor yang terunggul sekalipun”.

Antara ciri keunggulan perubatan Rasullullah (s.a.w) terdapat dalam aspek rohani atau hati, roh dan sirr. Sebab aspek rohani berkait rapat dengan tawhid atau berkait terus dengan Allah. Jika seseorang dalam usahanya mengenal dan mendekatkan diri kepadaNya dapat mencapai ma’riftullah serta membanyakkan dhikrullah maka barulah kerohaniannya jadi sihat dan kuat. Hati juga akan jadi mutmainnah atau tenang (28, al-Ra’d).

Dalam merawat atau mengubati seseorang pesakit, Rasullullah (s.a.w) ternyata seolah-olah tahu keadaan penyakit dan apakah ubat yang akan diberikan. Misalnya ada pesakit yang hanya didoakan sahaja, ada yang dibacakan ayat al-Quran, didoakan dan ditiup ke arah bahagian tertentu tubuh pesakit, ada yang didoakan dan dipukul dengan serbannya yang dipintal kemas, ada yang didoakan dan ditepuk sekuat-kuatnya di dada pesakit, ada yang diberi makan ubat-ubatan dari bahan herba dan sebagainya lagi.


Dalam penjagaan kesihatan, Rasullullah (s.a.w) telah meninggalkan banyak pesan panduan yang sangat berguna yang terus kekal hingga ke hari ini. Antara yang terkenalnya ialah; setiap penyakit ada ubatnya, jagalah perut, kerana perut itu punca kebanyakan penyakit. Baginda juga mengutamakan kebersihan sambil menegaskan bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Mengenai sebab atau punca penyakit, baginda telah menegaskan bahawa selain daripada faktor-faktor biasa yang memang telah diketahui oleh orang ramai, sihir, jin, syaitan, iblis juga menjadi faktor penting yang menyebabkan berbagai penyakit.

Perubatan Rasullullah (s.a.w) yang baginda amalkan dan ajarkan kepada para sahabatnya selama lebih dari 23 tahun iaitu sejak masa baginda dilantik jadi nabi dan rasul hinggalah baginda wafat, sebahagiannya ada tercatat di dalam kitab-kitab sirah, hadis, tafsir al-Quran, sejarah Islam dan lain-lain kitab lagi.

Sebahagian tulisan mengenai perubatan Rasullullah (s.a.w) yang tersebut telah dikumpul dan dibukukan oleh setengah sarjana ilmuan Islam. Sehingga ke hari ini sekurang-kurangnya kita menemui tiga buah kitab yang khusus ditulis mengenai perubatan baginda (s.a.w) itu. Ketiga-tiga kitab tersebut menggunakan tajuk/title yang sama, at-Tibbun-Nabawi. Ketiga-tiga sarjana ilmuan Islam tersebut ialah, Abu Nuaim (w.430H/1038M) yang berasal dari Isfahan, Parsi, Ibn Qaiyim al-Jawziyah (w 751H/1350M) dan Imam al-Suyuti (w 911H/1505M).

Kitab at-Tibun-Nabawi tersebut meninggalkan kesan pengaruh yang besar dalam kehidupan umat Islam. Ulamak Islam yang berminat dalam perubatan tradisional Islam seperti yang diajarkan dan diamalkan oleh Rasullullah (s.a.w) tetap menjadikan kitab tersebut sebagai rujukan utama. Setengah ulamak menyunting mengenai bab-bab tertentu dan dibukukan dengan huraian dan panduan-panduan baru. Setengah ulamak menterjemahkan ke dalam bahasa ibunda masing-masing. Kitab Tibun-Nabawi karangan Imam as-Suyuti telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan lain-lainnya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home