Friday, January 18, 2008

KAEDAH PUKULAN/KETUKAN/MEROTAN

Perubatan Rasullullah (s.a.w) merangkumi berbagai kaedah yang terlalu banyak. Antara kaedah-kaedahnya ialah menggunakan pukulan atau ketukan atau merotan orang yang dirawat. Kaedah ini jika digunakan sangat baik dan segera dapat menyembuhkan penyakit. Berbagai jenis penyakit dapat disembuhkan dalam jangka masa yang sangat pendek, menjimatkan kos dan boleh menghapuskan penyakit yang dirawat atau diubati untuk selama-lamanya.

Penemuan kaedah-kaedah ini bermula bila pada suatu ketika, kira-kira 10 tahun yang lalu seorang rakan meminjamkan kitab Hukmul-Jan karangan Imam as-Suyuti. Penulis dapati ada beberapa buah hadis yang menyebutkan bahawa Rasullullah (s.a.w) mengubati orang yang dirasuk jin


dengan memukul pesakit itu. Antaranya hadis yang menceritakan bahawa seorang sahabat menemui Rasullullah (s.a.w) dengan membawa anaknya yang dirasuk jin. Setelah ayahnya menyalinkan baju anaknya, maka anaknya itu dibawa dekat Rasullullah (s.a.w) dengan bahunya mengarah ke hadapan baginda Rasullullah (s.a.w). Baginda memegang erat baju budak itu lalu memukul-mukul belakangnya dengan tapak tangan. (Agak kuat juga, kerana baginda mengangkat tangannya tinggi sehingga ternampak ketiak baginda). Ketika melakukan pukulan atau tepukan itu, baginda (s.a.w) menyebutkan : “Keluarlah kau wahai musuh Allah, keluarlah wahai musuh Allah”.

Kemudian Rasullullah (s.a.w) berdoa lalu menyapukan tapak tangannya yang mulia itu ke wajah budak itu. Budak itu sembuh. Jin yang merasuknya telah keluar. Untuk tatapan dan renungan kita, penulis lampirkan bersama kertas kerja ini beberapa buah hadis yang menceritakan bagaimana Rasullullah (s.a.w) melakukan tepukan dan pukulan untuk mengeluarkan jin atau syaitan dari tubuh pesakit yang dirasuknya. Dari apa yang baginda lakukan itu dapat kita lihat bahawa baginda melakukan pukulan itu dengan dua perkara iaitu serbannya yang dipintal kemas atau tapak tangannya. Pukulan itu kita dapati agak kuat kerana dalam satu riwayat menyebutkan bahawa bekas tapak tangan baginda dapat dilihat dengan jelas di dada sahabat yang dirawatnya itu. Bagaimanapun yang pastinya ialah pukulan itu dilakukan oleh baginda sesuai dengan keadaan penyakit orang yang dirawatnya.


Sunnah Rasullullah (s.a.w) tersebut telah diikuti oleh orang-orang Islam kemudiannya. Khalifah Umar al-Khattab (r.a) pernah memukul muka dan kepala seorang hinggalah syaitan yang berada dalam tubuhnya keluar. Kisah Umar al-Khattab ini, berpunca bila orang tersebut bertanyakan kepadanya mengenai di manakah Allah berada. Khalifah Umar meminta tongkat dari seorang sahabat. Bila Umar dapat tongkat itu ia segera memukul kepada orang yang bertanya itu sehingga kepalanya berdarah. Syaitan yang merasuknya keluar dan orang itu pun sedar, lalu meminta maaf kepada Khlaifah Umar al-Khattab (r.a).

Dalam kitab at-Tibbun-Nabawi karangan Syeikh Ibn Qaiyim al-Jawziyah (w.751 H/1350M) ada menyebutkan bahawa gurunya Syeikh Ibn Taimiyah kerap kali memukul pesakitnya yang dirasuk syaitan atau jin dengan pukulan tongkat, setelah syaitan atau jin tidak mahu keluar walaupun diperintah supaya keluar berkali-kali. Syaitan atau jin yang berdegil itu akan keluar bila dipukul dengan tongkat- (at-Tibbun-Nabawi, h.52).

Ibn Qaiyim menegaskan bahawa kaedah perubatan yang digunakan oleh gurunya itu dapat disaksikan oleh beliau sendiri dan orang lain, bukan sekali tetapi kerap kali dilihatnya. Malahan gurunya, Syeikh Ibn Taimiyah pernah menceritakan kepada dirinya mengenai jin yang degil, tidak mahu keluar, walaupun sudah dibacakan ayat-ayat al-Quran dan sudah diminta supaya keluar segera. Akhirnya gurunya itu memukul pesakit itu dengan tongkat. Sebelum jin itu keluar ia sempat menyatakan bahawa ia sangat mencintai pesakit dan mahu pergi menunaikan fardhu haji bersama-


samanya. Akhirnya jin itu keluar kerana tidak tahan menanggung sakit dari pukulan tongkat itu. (al-Tibbun-Nabawi, h.53).

Penulis berasa sangat yakin bahawa antara berbagai hikmah hukuman rejam sampai mati terhadap penzina yang telah berkahwin dan hukum sebat 100 kali rotan bagi yang belum berkahwin bukan semata-mata untuk menimpakan seksaan terhadap penzina itu, tetapi untuk mengeluarkan syaitan yang telah menyerap masuk ke dalam tubuhnya. Bila syaitan itu keluar, maka orang itu benar-benar sedar dan akan menjadi seorang yang baik. Orang yang direjam sampai mati itu pula, bertujuan supaya syaitan tidak terus kekal dalam tubuhnya dan agar diri zahir dan batinnya bersih dari pengaruh syaitan. Di samping itu sifat jahat itu tidak akan menular kepada anak cucunya di kemudian hari.

Perlu diperhatikan bahawa orang yang melakukan pukulan atau ketukan tidak boleh sebarang orang, tetapi mestilah ianya seorang yang benar-benar bersifat taqwa, mantap iman dan sentiasa dhikrullah dan bermuraqabah kepada Allah. Tidak boleh dilakukan oleh orang yang masih bermaksiat, lemah iman dan hatinya lalai dari mengingati Allah. Kita dapati yang melakukan pukulan ialah Rasullullah (s.a.w), Saidina Umar al-Khattab dan Ibn Taimiyah. Penulis teringat satu kisah yang berlaku pada Imam Ahmad bin Hambal dan seorang muridnya. Imam Ahmad bin Hambal memukul seorang pesakit yang terasuk jin dengan kasutnya sambil menyebutkan : Keluarlah engkau wahai musuh Allah. Jin itu keluar. Sebelum keluar jin itu menyebutkan : Ia aku akan keluar kerana perintahmu. Setelah Imam Ahmad meninggal dunia jin itu masuk semula ke dalam tubuh pesakit tersebut. Salah seorang murid Imam Ahmad b. Hambal memukul pesakit itu sambil menyebut : Keluarlah engkau wahai musuh Allah. Jin itu tidak mahu keluar sambil berkata: Engkau ini siapa? Takkan aku mahu taat kepada orang seperti engkau!.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home